Perutusan Ramadan daripada Ketua IMAN dan Jawatankuasa IMAN Pusat

By Published On: March 1st, 2025Views: 49

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Marilah kita bersama-sama merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas ruang dan peluang yang diberikan untuk menjalani bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Sesungguhnya, ia merupakan anugerah istimewa untuk kita meraih keampunan dan meningkatkan darjat ketakwaan.

Ikhwah & Akhawat Fillah,

Jom kita renungi bait-bait pantun ini:

Ramadan al-Mubarak Menjengah Tiba
Membentuk Hamba Merealisasi Takwa
Banyakkan Amal Tambahkan Pahala
Transformasi Diri Menjadi Mulia

Ramadan al-Mubarak Berlabuh Seketika
Membentuk Hamba Merealisasi Takwa
Banyakkan Amal Tanpa Leka
Transformasi Diri Insan Wibawa

Kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menyuntik kegembiraan dalam hati sehingga kita berdoa agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan atas nikmat menunaikan ibadah puasa dengan penuh ketekunan dan kegigihan untuk mencapai ketakwaan. Renungilah doa ini:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah! Sejahterakanlah aku hingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku, dan terimalah amalan daripadaku.”
(Imam al-Tabarani dalam Kitab al-Du’a – 913)

Ikhwah dan Akhawat Fillah,

Ayuh! Transformasikan diri kita daripada sekadar seorang mukmin kepada muttaqin, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”

Ayat ini membawa maksud bahawa Ramadan adalah peluang keemasan yang Allah SWT kurniakan untuk kita meningkatkan darjat ketakwaan dalam tempoh yang singkat atau secara intensif (fast track). Amat rugi jika kita melepaskan tawaran istimewa ini dengan berlengah-lengah atau bertangguh dalam beramal.

Mari kita tingkatkan kualiti diri dengan memperbanyakkan amalan berbentuk vertikal (hablum minallah) dan horizontal (hablum minannas). Gunakan kesempatan ini untuk berinteraksi dengan komuniti, bukan hanya dalam kalangan ahli IMAN, tetapi juga dengan masyarakat umum, dengan penuh kasih sayang serta semangat dakwah yang berasaskan rahmah. Renungilah hadis ini:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Dari Abu Dzar RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:

“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya (dosa), serta berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
(HR Tirmizi No: 1910) – Hadis Hasan Sahih.

Ikhlas daripada,

Dr Hajar Bin Opir
Ketua IMAN

Dan

Seluruh Jawatankuasa IMAN Pusat 2022-2026

Bangunkan Jiwa
Teguhkan Ukhuwwah
Sebarkan Rahmah